Misteri Sumpahan Sang Kelembai

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera, mungkin ada di antara kita pernah mendengar tentang kisah Sang Kelembai atau Sang Gedembai. Kisah ini begitu sinonim dalam cerita-cerita rakyat dalam masyarakat melayu yang sering diceritakan mempunyai kuasa sakti dan kebolehannya menyumpah manusia atau haiwan menjadi batu ketika dia sedang marah. Menurut cerita lagenda, apa sahaja yang ditegur oleh Sang Kelembai akan bertukar menjadi batu.

 

 

Makhluk ghaib ini sering digambarkan dengan fizikal yang bersaiz gergasi, berwajah hodoh, berperwatakan bengis, berambut merah dan panjang. Ia amat digeruni oleh makhluk-makhluk lain. Sang Kelembai biasanya tinggal di dalam hutan belantara dan berhampiran sungai. Ia juga dikatakan gemar makan pucuk buluh dan menyebabkan orang kampung pada masa itu sukar mendapatkan buluh.

 

Cerita Sang Kelembai sangat popular dikalangan masyarakat melayu yang tinggal di Perak, Pahang, Kedah dan Pulau Pinang dengan masing-masing mempunyai versi cerita yang berbeza.

 

Versi Perak

 

Diceritakan, pada suatu hari Sang Kelembai sedang membuat belat ikan merentangi Sungai Perak tiba-tiba turun lima ekor gajah untuk mandi-manda disitu dan membuat bising hingga mengganggu ikan yang ingin ditangkap oleh Sang Kelembai. Lantaran daripada itu, ia hilang sabar lalu bertempik menyebabkan 5 ekor gajah sekali gus menjadi batu. Batu itu masih ada di Kampung Ara Panjang.

 

 

Pekan Kampung Gajah di Teluk Intan mendapat nama daripada batu di kaki Bukit Tunggal yang menyerupai bentuk gajah. Kewujudan batu ini dikatakan kerana gajah-gajah di situ telah membuat bising dan telah ditegur oleh Sang Kelembai yang tidak suka dengan suasana bising. Akibatnya gajah tersebut dikatakan menjadi batu.

 

Dikatakan juga, pemukaan berbatu di sekitar air terjun Lata Kinjang di Tapah dan Lata Batu Hampar di Padang Rengas terbentuk hasil sumpahan Sang Kelembai selepas berang ekoran anaknya mati dihempap pokok.

 

Versi Pahang

 

Menurut cerita orang-orang tua di Kampung Batu Sawar, terdapat sebuah batu berbentuk sawar iaitu sejenis alat menangkap ikan di dalam Sungai Pahang. Para pengunjung boleh melihat sendiri batu sawar ini lebih-lebih lagi menjelang air surut. Batu ini dikatakan terkena sumpahan Sang Kelembai kerana menghalang laluannya. Batu tersebut kemudiannya digelar Batu Sawar dan akhirnya menjadi nama rasmi bagi kampung tersebut.

 

Kisah Sang Kelembai di Kuala Tahan biasa diperkatakan dikalangan masyarakat kampung dan orang asli suku kaum Batek dan Semelai. Di khabarkan, ia suka singgah di kawasan air terjun 4 tingkat dan sebuah taman yang kini digelar sebagai ‘Wray’s Camp’ disebabkan keindahannya. Terdapat juga kesan tapak kakinya di puncak Gunung Tahan.

 

 

 

Banyak kawasan kampung dikaitkan dengan kisah Sang Kelembai. Antaranya ialah Batu Papan, Gua Kota Gelanggi dan Batu Katak.

 

Di Gua Kota Gelanggi ia sering dikaitkan dengan orang bunian dan Sang Kelembai. Di situ juga wujud batu menyerupai pengantin bersanding, ular dan singa yang dipercayai akibat sumpahan Sang Kelembai.

 

Versi Kedah

 

Di Kodiang, terdapat batu seperti seekor kerbau yang dikatakan di sumpah oleh Sang Kelembai di Gua Kerbau yang mana, satu daripada gunung disitu menjadi destinasi pelancongan terkenal.

 

Versi Pulau Pinang

 

Pulau Pinang juga turut mendapat tempias Sang Kelembai. Di Batu Maung, Pulau Pinang, kesan tapak kaki sepanjang 33 inci yang ditemui dan dipercayai tapak kaki Sang Kelembai. Kesan tapak kaki yang sama turut ditemui di Bayan Lepas, Pulau Jerejak dan Pulau Aman.

 

Memandangkan kesan tapak kaki Sang Kelembai sudah wujud beratus tahun di beberapa pulau sekitar Pulau Pinang, penduduk berbilang bangsa di sana mempunyai pelbagai cerita dan kepercayaan tentang Gedembai, mengikut budaya masing-masing.

 

Via Melayukini

Incoming search terms:

  • cerita rakyat kaum iban
  • cerita rakyat kaum cina
  • cerita rakyat kaum kadazan
  • koleksi cerita rakyat kaum cina
  • koleksi cerita rakyat pelbagai kaum
Artikel Berkaitan..

Comments

Trackbacks

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *