Waktu Mustajab Untuk Berdoa

Berdoa adalah otak ibadat. Begitulah besarnya kedudukan doa. Lagi banyak kita mohon bertambah sayang Allah kepada kita dan ia berbeza dengan manusia, lagi banyak kita minta, lagi banyak kita dimarahi atau dimaki.

Doa sifat perhambaan manusia dan mereka diciptakan untuk hamba-Nya. Supaya doa mudah diterima kita patut meneliti serta mengetahui waktu yang sangat mustajab untuk berdoa antaranya ialah:


Sekadar gambar Hiasan

~> Pada waktu sepertiga malam iaitu waktu terakhir

ketika orang lain nyenyak tidur. Allah s.w.t berfirman, maksudnya: “Mereka (muttaqin) sedikit sekali tidur pada waktu malam dan pada akhir malam, mereka memohon ampun (kepada Allah)” (Surah Adz-Dzariyat ayat 18-19).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Rabb (Tuhan) kita turun di setiap malam ke langit terendah iaitu ketika sepertiga malam terakhir, lalu Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku kabulkan.
Siapa yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya dan siapa yang meminta ampun kepada-Ku, Aku ampunkan untuknya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

 

~> Waktu antara azan dan iqamah iaitu ketika menunggu solat berjemaah

Sayangnya waktu mustajab ini sering disalahgunakan sesetengah umat Islam yang kurang mengerti sunnah sehingga diisi dengan hal tidak baik dan tdak dianjurkan Islam, membicarakan urusan dunia yang tidak bernilai ibadat.

 

~> Pada waktu sujud iaitu sujud di dalam solat atau sujud lain yang diajarkan Islam seperti sujud syukur, sujud tilawah dan sujud sahwi

Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kedudukan hamba yang paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia dalam keadaan sujud, maka perbanyaklah doa” (Hadis riwayat Muslim).

Hadis Ibnu Abbas r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w membuka tabir (ketika baginda sakit), sementara orang ramai sedang berbaris (solat) di belakang Abu Bakar r.a lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tidak ada lagi daripada mubasysyirat nubuwwah (khabar gembira kenabian) kecuali mimpi baik yang dilihat oleh seorang Muslim atau diperlihatkan untuknya. Ingatlah bahawasanya aku dilarang untuk membaca al-Quran ketika rukuk atau ketika sujud. Adapun di dalam rukuk, agungkanlah Allah dan adapun di dalam sujud, bersungguhlah berdoa, sebab (hal itu) segera dikabulkan bagi kamu” (Hadis riwayat Muslim).

 

 

~> Selepas solat fardu iaitu selepas melaksanakan solat wajib lima waktu termasuk selepas solat Jumaat

Allah berfirman, maksudnya: “Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan selesai solat” (Surah Qaaf ayat 40).

Oleh kerana itu, Imam Syafie dan pengikutnya menjelaskan, dianjurkan bagi imam dan makmumnya serta orang yang solat sendirian memperbanyakkan zikir, wirid dan doa selepas selesai solat fardu.

Dianjurkan membaca doa dengan perlahan kecuali jika makmum belum mengerti, imam boleh menguatkan bacaan agar makmum menirunya. Apabila mereka mengerti, kembalilah secara perlahan.

 

~ > Pada waktu khusus tetapi tidak diketahui dengan pasti batasannya iaitu satu detik pada setiap malam dan setiap hari Jumaat

Ini berdasarkan hadis Jabir r.a, dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di malam hari ada satu saat (yang mustajab), tidak ada seorang Muslim pun yang bertepatan pada waktu itu meminta kepada Allah kebaikan urusan dunia dan akhirat melainkan Allah pasti memberi kepadanya” (Hadis Riwayat Muslim).

Hadis Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah menyebut hari Jumaat, baginda bersabda: “Di dalamnya ada satu saat (yang mustajab), tidaklah seorang hamba Muslim yang kebetulan waktu itu sedang mendirikan solat (atau menunggu solat) dan memohon kepada Allah sesuatu (hajat) melainkan Allah pasti mengabulkan permohonannya.” Nabi s.a.w mengisyaratkan dengan tangannya akan sedikitnya saat mustajab itu (Hadis riwayat al-Bukhari).

Di dalam hadis Muslim dan Abu Daud dijelaskan: “Iaitu waktu antara duduknya imam (khatib) sehingga selesainya solat (Jumaat).” Inilah riwayat yang paling sahih dalam hal ini.

Sementara dalam hadis Abu Daud yang lain, Nabi s.a.w memerintahkan agar kita mencarinya pada akhir waktu Asar. Waktu lain yang mustajab ialah sepertiga akhir malam, ketika hujan turun, waktu awal pagi ketika dengar ayam berkokok, ketika berpuasa, ketika bermusafir, bulan Ramadan dan pada 10 akhir Ramadan.

 

Dipetik dari Hmetro

Incoming search terms:

  • Doa doa mustajab
  • doa-doa mustajab
  • waktu mustajab untuk berdoa
  • gambar lagi berdoa
  • waktu berdoa yg mudah di terima
Artikel lain..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *